Ejen Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes, mendedahkan jika bintang Portugal itu meninggalkan Real Madrid, ia akan melibatkan cabaran baru.

Juara Serie A, Juventus, dilaporkan telah mengemukakan tawaran bernilai GBP88 juta (RM470 juta) untuk mendapatkan penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Real Madrid itu selepas sembilan tahun berada di Santiago Bernabeu.

Masa depannya bersama kelab LaLiga itu menjadi tanda tanya sejak Los Blancos menundukkan Liverpool 3-1 untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut, Mei lalu.

Bagaimanapun, dia memberikan kenyataan tidak lama selepas itu untuk meredakan ketegangan yang berlaku.

"Kami akan bercakap mengenai masa depan. Amat indah untuk mewakili Real Madrid. Saya akan memberikan maklum balas dalam masa beberapa hari," kata Ronaldo.

Tatkala spekulasi perpindahan Ronaldo ke Itali semakin hampir, Mendes memberikan bayangan bahawa pemenang Ballon d'Or lima kali itu mungkin akan melakukan penghijrahan.

"Jika Ronaldo meninggalkan Real Madrid, dia akan berterima kasih kepada kelab, presiden, seluruh pasukan, barisan perubatan, penyokong dan semua Madridistas di seluruh dunia," ujar Mendes.

"Ia hanya akan melibatkan cabaran dan pentas baru dalam kariernya yang gemilang."

Ronaldo menyertai Madrid pada 2009 selepas enam tahun berada di Manchester United serta menjaringkan 450 gol dalam 438 perlawanan buat gergasi Sepanyol itu.