Walaupun dibesarkan di rumah anak yatim sejak berusia lima tahun, bintang muda AirAsia FC, Simon Lee, tidak menganggap itu menjadi halangan buat dirinya untuk bergelar pemain bola sepak profesional.

Siapa sangka bekas pemain Piala Presiden B-21 Kuala Lumpur ini merupakan anak yatim piatu dan dibesarkan di Yayasan Sunbeams Home, Cheras.

Namun, minat yang begitu mendalam terhadap sukan bola sepak selain galakan rakan-rakan membuatkan pemain berusia 21 tahun ini mengetepikan segala kekurangan.

Dia berharap pasukan AirAsia menjadi batu loncatan pertamanya untuk membina karier selaku pemain bola sepak profesional.

"Pada saya, dari mana kita datang atau apa latar belakang kita bukan satu alasan. Kalau kita nak buat sesuatu, kita buat habis-habisan.

"Ada pepatah mengatakan jika kamu dilahirkan miskin, ia bukan salah kamu tetapi jika kamu mati dalam kemiskinan, itu salah kamu," jelas Simon.

Pada masa sama, dia berharap lebih ramai belia berbangsa Cina melibatkan diri dalam sukan bola sepak.

Ambil contoh pasukan AirAsia yang mempunyai tiga pemain berbangsa Cina, dia berasakan sebenarnya masih ramai lagi bakat lain yang boleh diketengahkan.

"Satu permulaan yang baik buat kami, saya telah bermain bersama Kuala Lumpur untuk empat tahun sebelum ini dan ketika itu hanya ada dua pemain berbangsa Cina.

"Tahun ini lebih baik kerana di AirAsia, kami memiliki empat pemain berbangsa Cina, jadi itu perkembangan yang baik," tambahnya.