Gerard Pique mahukan 'perubahan di setiap peringkat' di Barcelona selepas skuad kendalian Quique Setien itu ditewaskan 8-2 oleh Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Selepas menamatkan saingan LaLiga di tempat kedua di belakang Real Madrid, dan gagal dalam saingan Copa del Rey musim ini, harapan terakhir Barca untuk meraih gelaran musnah dengan penuh bergaya di Lisbon awal pagi tadi.

Thomas Muller, Ivan Perisic, Serge Gnabry, Joshua Kimmich, Robert Lewandowski dan Philippe Coutinho -- yang hadir sebagai pemain gantian meledak dua gol dalam tempoh empat minit ke atas kelab asalnya -- memberikan kemenangan yang cemerlang buat Bayern di Estadio da Luz.

Ketika Bayern boleh mengintai aksi separuh akhir berdepan di antara Manchester City atau Lyon, Barca perlu memikirkan tentang pembangunan semula menjelang musim baru.

Ia merupakan projek di mana pertahanan tengah, Pique, menegaskan perlu dilakukan, dan percaya sebarang perubahan yang perlu dilakukan tidak terhad kepada jurulatih atau staf pasukan sahaja.

"Saya sangat terluka, kami semua terluka. Kami tidak dapat bersaing seperti itu," kata Pique kepada Movistar. "Sukar untuk menerimanya.

"Kelab perlukan perubahan. Bukan hanya pemain, saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa.

"Ia amat memalukan. Malu adalah perkataannya. Kami perlu mengubah daripada setiap struktur pasukan."



Pique sendiri mengakui masanya bersama kelab itu mungkin sudah tiba di penghujung, jika dia dianggap lebihan daripada keperluan.

"Jika saya perlu berhijrah dalam usaha untuk mengubah pasukan, saya adalah orang pertama yang akan menerimanya. Ini merupakan perlawanan yang mengecewakan.

"Bola sepak adalah sukan di mana sentiasa perlu melewati perubahan. Kami perlu menukar dinamik kerana saya percaya pasukan telah menghadapi saat yang mengecewakan."