Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Yusof Mahadi, mengesahkan skuadnya akan menggunakan kepakaran jurulatih asing, iaitu bekas pengendali Yangon United FC, Eric Williams, untuk menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Nama Eric Williams mungkin asing bagi kancah bola sepak tempatan tetapi tidak di rantau ini.

Jurulatih dari Australia itu memiliki pengalaman membawa pasukan beraksi di pentas Piala AFC.

Ia ketika dia membimbing kelab gergasi Myanmar, Yangon United FC, pada musim 2014 selain pernah mengendalikan skuad pelapis negara itu.

Berdasarkan reputasi tersebut, Williams dipilih untuk menduduki kerusi panas juara Liga Perdana 2016 itu, yang ditinggalkan Mat Zan Mat Aris.

"Saya diberitahu Eric Williams akan sampai hari ini dan hampir pasti dia akan menjadi jurulatih pasukan. Berdasarkan beberapa kriteria, Eric Williams menepati kehendak kami," katanya.

Yusof mengesahkan Melaka juga akan menampilkan tiga pemain import baru, tatkala kedudukan penjaring terbanyak Liga Perdana 2016, Ilija Spasojevic, masih samar untuk bersama pasukan itu musim depan.

"Tiga import lain, kami tidak akan kekalkan. Kami akan bawa seorang pemain dari DRB Hicom, iaitu pemain pertahanan, seorang pemain tengah dari Sweden yang ada kerakyatan Iran dan seorang pemain dari Argentina," tambahnya.

Eric Williams
Asal: Australia

Pengalaman kejurulatihan:
• Yangon United FC
• Perseman Manokwari
• Skuad B-16 Myanmar

Pencapaian bersama Yangon United:
• Juara Liga Kebangsaan Myanmar 2011
• Juara Piala MFF 2011
• Naib juara Liga Kebangsaan Myanmar 2014