"Scotland layak untuk berkeyakinan tinggi ke Liga B, Liga Negara-Negara Eropah," kata pengurus pasukan, Alex McLiesh.

Dua jaringan James Forrest serta satu daripada Ryan Fraser dan Steven Fletcher memastikan kemenangan 4-0 pasukan itu ke atas Albania, awal pagi tadi.

Kapten Albania, Mergim Mavraj, dibuang padang dalam separuh masa pertama selepas menanduk Ryan Christie yang turut membantu pelawat meraih kemenangan terbesar sejak dipimpin McLeish.

Scotland kini berpeluang keluar daripada Liga C andai berjaya menewaskan Israel dalam penentuan di Hampden Park, minggu depan.

"Saya tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam perlawanan itu tetapi saya ada perasaan yang baik tentangnya," katanya kepada Sky Sport.

"Saya berasakan jika pemain mengekalkan prestasi seperti itu, kami akan mendapat keputusan yang baik.

"Mereka memaparkan aksi cemerlang dan mula menunjukkan keserasian.

"Kemenangan ini akan melonjakkan keyakinan kami.

"Kami masih ada tugas untuk diselesaikan dan pemain tidak boleh terlalu yakin."

Pemain sayap Bournemouth, Fraser, menjaringkan gol pada minit ke-14 dalam penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa.

Pemain berusia 24 tahun itu memaparkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana dan McLeish tidak menolak kehadirannya menjadi pencetus kepada peningkatan persembahan pasukan.

"Kehadiran pemain berkaliber seperti itu pasti banyak membantu pasukan.

"Dia amat berbahaya dan mempunyai penyudah yang baik," katanya lagi.