James McClean menyelar pengkritik Republik Ireland selepas dua golnya mengesahkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Moldova.

Ireland membuka kempen kelayakan mereka dengan meraih keputusan seri yang sukar di Serbia sebelum kemenangan yang kurang meyakinkan di tempat sendiri ke atas Georgia.

McClean berasakan liputan yang diterima Ireland selepas perlawanan berkenaan adalah tidak adil dan sekali lagi mensasarkan media selepas kemenangan di Moldova yang menyaksikan pasukan kendalian Martin O'Neill berkongsi kedudukan teratas Kumpulan D.

“Kami mendapat banyak bidasan selepas perlawanan dengan Serbia, banyak kritikan selepas perlawanan dengan Georgia, dan kami tidak mahu perkara yang sama berulang,” katanya kepada Sky Sports.

"Saya fikir ia tidak adil. Saya fikir akhbar-akbar Ireland hendaklah menerima hakikat kami tidak akan semudah-mudahnya mengatasi pasukan lawan.

"Kami sentiasa sebuah pasukan yang bekerja keras, tetapi kemenangan tidak pernah mencukupi.

“Kami gembira untuk mendapat kemenangan dan kami gembira meraih tujuh mata.”

McClean percaya bahawa Ireland berada dalam situasi “tidak boleh menang” apabila ia berkaitan dengan memuaskan hati pengkritik mereka.

“Penyokong kami adalah hebat. Mereka mengikuti kami, baik di tempat sendiri mahupun di tempat lawan. Penyokong kami adalah menakjubkan.

“Tapi atas sebab-sebab tertentu, kami seolah-olah berada dalam situasi “tidak boleh menang” dengan media.

“Jika kami bermain bola sepak yang cantik dan tidak menang, (mereka mengatakan) kami sepatutnya menang. Jika kami tidak bermain bola sepak yang cantik dan kami menang, (mereka sebaliknya mengatakan) kami perlu bermain bola sepak yang lebih baik.

“Saya sentiasa salah seorang yang mengatakan satu kemenangan adalah satu kemenangan, tidak kira bagaimana ia diperoleh.”