James McClean teruja kerana dapat menyumbang gol kemenangan untuk Republik Ireland melakar kemenangan 1-0 ke atas Austria, namun mengakui berasa lega kerana jaringan itu meletakkan dirinya terselamat daripada dikecam penolong jurulatih, Roy Keane.

Pemain sayap West Brom itu menewaskan penjaga gol, Ramazan Ozcan, pada minit ke-48 selepas mempamerkan pengawalan bola mantap.

Jaringan tersebut meletakkan Ireland mendahului saingan Kumpulan D dengan dua mata selesa di hadapan Serbia yang melakar keputusan seri 1-1 dengan Wales lewat pagi Sabtu.

Walaupun sedar kepentingan gol tersebut, McClean mengakui dia mampu tersenyum dengannya.

"Jika saya terlepas peluang itu, mungkin Roy Keane akan membunuh saya!

"Ketika sesi latihan, dia sering memberi penekanan terhadap menyempurnkan peluang yang datang. Saya merembat dengan baik untuk menewaskan penjaga gol."

Ia merupakan kemenangan pertama ke atas Austria dalam tempoh 53 tahun, sekali gus meletakkan Ireland dalam keadaan selesa untuk mara ke Piala Dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Mengutip tiga mata berdepan Austria memberi makna besar buat kami, apatah lagi kumpulan ini merangkumi beberapa pasukan yang kuat.

"Diharapkan kemenangan ini memberikan kami momentum untuk terus berada di puncak," tambah McClean.