Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menewaskan Pejabat Setiausaha Negeri Perak (SUK) 2-1 dalam aksi akhir Piala FA, Persatuan Bolasepak Ipoh (PBI) 2016 di Stadium Perak, malam tadi.
Dua gol jaringan Mohammad Hanifuddin pada minit ke 42 dan 85, sudah cukup untuk membawa MBI dan jurulatih berpengalamannya, Datuk M. Karathu, mengenggam Piala FA Ipoh buat kali pertama.
"Kedua-dua pasukan bermain baik, namun faktor kecergasan menjadi penentu kerana keadaan padang yang basah.
"Saya mahu ucapkan tahniah kepada MBI," kata Karathu.
Sementara itu jurulatih SUK, A. Pugelenthi, akur dengan keputusan tersebut.
"Saya berpuas hati dengan komitmen pemain. MBI adalah pasukan pilihan dari Liga Divisyen Satu manakala kami bermain di divisyen dua.
"Pencapaian melangkah ke perlawanan akhir Piala FA merupakan satu penghormatan buat SUK", jelas Pugelenthi.
Tahun lalu, Piala FA Ipoh dimenangi PKNP FC.
Upacara penutup disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, yang juga Presiden Bolasepak Perak (PAFA).