Sempena sambutan ulang tahun ke-31 bandaraya Ipoh, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan Super Lawak FC di Padang Sultan Abdul Jalil, Ipoh petang esok.

Antara pemain yang akan beraksi ialah Rahim dan Jep daripada kumpulan Sepahtu, Shah (Slam), Atu, Sarip dan Melati (Zero), Roy Azman, Chiwan (Muzikal Lawak) dan Jali (School of Lawak).

Tuan rumah pula akan menampilkan pemain yang terdiri daripada pihak pengurusan MBI.

Justeru, Pengarah Kanan Pentadbiran dan Kewangan MBI, Saidatul Akma Jamaluddin, mempelawa orang ramai untuk menyaksikan perlawanan itu.

"Kami berharap orang ramai akan datang menyaksikan perlawanan ini bagi memeriahkan program.

"Ia diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim secara santai serta mempromosikan Ipoh melalui sukan," katanya dalam sidang akhbar sempena program itu, petang tadi.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Pengurus Besar Hotel Impiana, Gerard Sta Maria.

Katanya, perlawanan itu diadakan dengan kerjasama Hotel Impiana, Ipoh selaku penginapan rasmi pasukan Super Lawak FC.

Berdasarkan pengalaman lalu, Saidatul Akma menjangkakan kehadiran 5,000 penonton ke program itu, yang akan dirasmikan oleh Datuk Bandar Bandaraya Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.