Kylian Mbappe kembali ke Paris Saint-Germain (PSG) dan akan terlepas dua perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 Perancis dengan Iceland dan Turki kerana kecederaan.

Pemain berusia 20 tahun itu kembali mengalami kecederaan paha ketika menewaskan Bordeaux 1-0, 28 September lalu dan terlepas aksi ketika pasukannya membelasah Angers 4-0 sebelum waktu rehat antarabangsa.

Mbappe menyertai skuad kebangsaannya, namun selepas menjalani ujian perubatan, Persatuan Bolasepak Perancis (FFF) mengesahkan mereka telah membenarkan pemain itu untuk meninggalkan skuad kendalian Didier Deschamps berkenaan.

Pemain Borussia Monchengladbach, Alassane Plea, telah dipanggil untuk menggantikan Mbappe.

Perancis akan berdepan Iceland awal pagi Sabtu ini sebelum bertemu Turki tiga hari kemudian.

Mereka kini menduduki tangga kedua Kumpulan H dengan terikat 15 mata dengan pendahulu, Turki.

Mbappe hanya melakukan enam penampilan bersama PSG sepanjang musim ini dengan menghasilkan dua gol.

Bekas bintang Monaco itu sedang berusaha untuk kembali cergas menjelang perlawanan di antara PSG dan Nice dalam Ligue 1, 18 Oktober ini.