Kylian Mbappe telah membuktikan bahawa dia merupakan antara pemain terbaik dunia selepas menjaringkan hatrik ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Barcelona 4-1, kata Mauricio Pochettino.

PSG membelasah Barca di Camp Nou dalam perlaawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi untuk kelab Paris itu membawa kelebihan selesa menjelang aksi kedua di Parc des Princes bulan depan.

Ketika ramai mahu menumpukan kepada pemain yang sedang dikaitkan untuk ke PSG, iaitu Lionel Messi, Mbappe menunjukkan mengapa dia diiktiraf sebagai penerus kepada bintang Argentina itu sebagai 'pemain terbaik dunia'.

Selepas Messi membuka jaringan melalui sepakan penalti, Mbappe menjaringkan tiga gol dan menjadi pemain pelawat pertama menjaringkan hatrik di Camp Nou selepas Andriy Shevchenko melakukannya pada 1997.

Pochettino memuji pemain kebangsaan Perancis itu selepas tamat perlawanan tetapi menggesa pasukannya untuk kekal rendah diri.

"Kami tiada sebarang keraguan bahawa Kylian merupakan antara pemain terbaik di dunia walaupun dia masih muda," kata Pochettino kepada RMC Sport.

"Dia sudah melakukan perkara yang luar biasa tetapi kami perlu kekal rendah diri. Masih ada 90 minit lagi dan mereka memiliki pemain yang hebat. Masih ada perlawanan kedua."

Kemenangan itu memberikan PSG kelebihan besar menjelang perlawanan kedua tetapi setiap kelab sedar apa yang akan berlaku sekiranya mereka terlalu selesa dengan kelebihan itu.

Ia merupakan kunjungan pertama PSG ke Nou Camp sejak 2017, di mana pada ketika itu mereka diaibkan dengan kekalahan 1-6 dalam perlawanan timbal balik meskipun membawa kelebihan 4-0 daripada pertemuan sebelumnya.

Untuk itu, Pochettino menegaskan bahawa PSG tidak boleh menerima bahawa aksi di Camp Nou itu sebagai sesuatu yang sempurna.

"Tiada perkara tentang kesempurnaan. Saya gembira dengan keputusan ini dan cara kami bermain tetapi kami perlu kekal rendah diri.

"Ahad ini, kami ada perlawanan besar menentang Monaco, kami sudah bersedia untuk berdepan perlawanan itu," katanya.

Ia merupakan kali pertama Barcelona dibolosi empat gol di laman sendiri dalam pusingan kalah mati UCL sejak 23 tahun lalu.

Mereka tidak pernah melepasi pusingan kalah mati peringkat Eropah selepas tewas perlawanan pertama di gelanggang sendiri.