Pemain Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, menyifatkan peranan selaku penyerang yang diberikan kepadanya ketika menentang Dijon menyebabkan dirinya gagal mempamerkan aksi terbaik.

Mbappe pasti tidak akan melupakan malam buruknya bersama PSG selepas gagal mencatat sebarang jaringan menerusi lima percubaan.

Ketiadaan penyerang utama, Edinson Cavani, memaksa pengendali, Unai Emery, meletakkan bintang muda Perancis itu di bahagian depan, namun segala usahanya dinafikan oleh penjaga gol lawan, Baptiste Reynet.

Mbappe berasakan bahawa posisi penyerang tengah bukan yang terbaik buat dirinya tetapi bertekad mahu bangkit dalam aksi seterusnya menentang Anderlecht dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Saya cuba untuk mendapatkan jaringan.

"Saya terlepas banyak peluang. Ia bukan perlawanan yang baik dan mudah kerana saya tidak bermain di posisi penyerang tengah untuk satu tempoh yang lama.

"Kebiasaannya, ia menjadi tanggungjawab Cavani tetapi ketiadaannya memaksa saya beraksi di situ," kata Mbappe.

"Saya akan bangkit dalam perlawanan pada Rabu. Saya akan berlatih dan bekerja keras kerana jelas sekali hari ini bukan aksi yang baik daripada saya."

Bagaimanapun, Mbappe berjaya membuka ruang untuk Thomas Meunier menjaringkan gol kemenangan buat PSG untuk memastikan PSG kekal dengan rekod tanpa kalah pada musim ini.

"Ia satu perlawanan yang gila. Dijon meraih gol yang boleh dianggap jaringan terbaik pada tahun ini tetapi kami berjaya menjaringkan gol kemenangan pada saat-saat akhir.

"Terdapat 60 perlawanan dalam satu musim dan kami tidak mampu memberikan perlawanan yang hebat setiap masa. Kami mahu tetapi fizikal tidak membenarkan.

"Kami harus mencontohi prestasi yang ditunjukkan Dijon. Mereka bermain sepenuh hati demi penyokong-penyokong. Mereka melakukan segala-galanya dan ia menyukarkan usaha kami.

"Akhirnya kami meriah tiga mata tetapi dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada seluruh skuad Dijon di atas permainan hebat yang ditunjukkan," tambah Mbappe.