Kylian Mbappe yakin bahawa Neymar gembira di Paris Saint-Germain (PSG) berikutan terdapat laporan yang mencadangkan dia tidak lagi sehaluan dengan pengendali pasukan, Unai Emery, dan beberapa rakan sepasukannya.

Laporan di Perancis menyatakan hubungan Neymar dan Emery semakin tegang selepas tiga bulan pemain kebangsaan Brazil itu berhijrah meninggalkan Barcelona.

Ia juga mengatakan bahawa terdapat beberapa pemain dalam kesebelasan utama PSG yang mula kecewa dengan kelebihan yang diberikan kepadanya, dengan Neymar dilaporkan mempunyai dua fisioterapi di samping terlepas daripada tugas ketika bertahan.

Neymar, yang menjelaskan khabar angin itu Jumaat lalu, menegaskan dia gembira bersama pasukan dan Mbappe turut menyifatkan perkara yang sama, malah mendedahkan kepentingan bintang Brazil itu kepadanya sejak meninggalkan Monaco pada Ogos lalu.

"Dia banyak membantu saya, memberikan ilmu serta pengalaman yang dimiliki," kata Mbappe.

"Memiliki pemain seperti Neymar untuk membantu anda setiap hari adalah sangat baik. Dia seorang pemain yang berkualiti. Kami sangat gembira dapat bermain bersama Neymar dalam usaha untuk meraih kejayaan musim ini," katanya.

Edinson Cavani merupakan antara pemain yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan kelebihan yang dimiliki oleh Neymar.

Tetapi Mbappe merupakan salah seorang peminat pemain kebangsaan Uruguay itu dan percaya dia merupakan salah seorang penyerang yang sempurna bagi melengkapkan jentera serangan yang dibarisi dirinya bersama Neymar.

"Cavani seorang pemain yang menakjubkan. Saya berasakan dia seorang pemain yang sempurna untuk digandingkan bersama Neymar dan saya.

"Pantas, bijak mencari ruang, sentuhan penyudahnya cukup berbisa," ujarnya.