Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, mengakui jumlah wang yang dikeluarkan dalam saingan bola sepak tertinggi kini semakin mengarut.

Pemain berusia 19 tahun itu melengkapkan perpindahan daripada Monaco ke PSG dengan yuran perpindahan EUR180 juta (RM848.3 juta), awal tahun ini.

Rakan sepasukannya, Neymar, tiba daripada Barcelona pada 2017 dengan perpindahan bernilai EUR222 juta (RM1.046 bilion) yang mengejutkan dunia bola sepak.

Laporan berdasarkan dokumen yang didedahkan Football Leaks mendakwa Mbappe memohon lanjutan kontrak selama lima tahun yang bernilai EUR55 juta (RM259 juta) selepas cukai, termasuk pelbagai insentif berdasarkan prestasi semasa.

Mbappe mengakui terdapat jumlah wang dalam saingan peringkat tertinggi yang dia tidak pernah terfikir sebelum ini.

"Ia amat mengarut bagi saya yang membesar dalam keluarga yang sederhana," katanya kepada RTS.

"Ia sememangnya mengarut tetapi pasaran pemain memang seperti itu.

"Dunia bola sepak berlangsung seperti itu.

"Saya tidak akan merevolusikan bola sepak kerana saya berada di dalam sistem itu.

"Kami perlu menghormatinya dan membiarkan ia seperti itu," katanya lagi.

Mbappe dibandingkan dengan legenda Brazil, Pele, selepas dia mempamerkan peningkatan menakjubkan dalam tempoh tiga tahun.

Dia memenangi empat kejuaraan utama di Perancis, termasuk Piala Dunia.

Bagaimanapun, dia enggan dibandingkan seperti itu dengan menyatakan: "Saya tidak mahu menjadi salinan kepada orang lain.

"Seperti legenda-legenda yang lain, saya mahu mencipta sejarah tersendiri, bukan menjadi seperti orang terdahulu.

"Ia penting untuk saya mempunyai keyakinan diri yang tinggi walaupun perlu kekal merendah diri dalam kehidupan harian.

"Itulah kekuatan seorang pemain bola sepak terbaik," ujarnya.