Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menghamburkan pujian terhadap Kylian Mbappe selepas permulaan menakjubkan bintang itu pada musim ini.

Mbappe, 19, telah menyumbat 13 gol dan mencipta enam gerakan gol dalam 12 perlawanan untuk Paris Saint-Germain (PSG) memulakan kempen dengan cemerlang.

Penggempur itu merupakan pesaing Ballon d'Or, justeru Deschamps -- pasukannya akan menghadapi Belanda dan Uruguay bulan ini -- sekali lagi memuji Mbappe.

"Kylian mampu melakukan perkara-perkara yang luar biasa. Lihat statistiknya, dia cekap menerusi jaringannya bersama kelab dan negara. Dia juga membekalkan bantuan gol," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Dia seorang pemain muda yang amat bagus pada masa ini. Dia tidak banyak songeh, dia mengetuai jentera serangan PSG.

"Tetapi, dia tidak pula cuba bersikap berlebihan. Dia membuktikannya dan sudah tentu ia berlaku secara semulajadi.

"Jelas sekali dia masih boleh memperbaiki permainannya dan itu bagus, namun aksinya sudah cukup berkesan."

Juara dunia, Perancis, akan menghadapi Belanda dalam kempen Liga Negara-Negara pada 16 November ini sebelum menghadapi Uruguay dalam aksi persahabatan, empat hari kemudian.