Ketua pasukan Perancis, Hugo Lloris, melahirkan sokongan kepada Kylian Mbappe, dengan berkata penggempur berbakat itu boleh menjadi penentu kepada pasukan itu.

Bakal menyambut kunjungan Belarus awal pagi esok, Perancis mempunyai kelebihan satu mata di puncak Kumpulan A dan kemenangan akan menjamin tempat mereka dalam pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Mbappe, 18, hanya memulakan aksi dalam kesebelasan utama buat kali kedua dalam kempen kelayakan ini dalam kemenangan 1-0 ke atas Bulgaria, namun dia gagal menyerlah dalam perlawanan itu.

Begitupun, Lloris mempertahankan pemain remaja itu yang meledak tiga gol dalam enam perlawanan bersama Paris Saint-Germain (PSG), musim ini.

"Mbappe perlu meneruskan usaha bersama pasukan Perancis. Sukar untuk menilai pemain dalam pertemuan dengan Bulgaria," kata penjaga gol Tottenham Hotspur itu.

"Ia lebih kepada perjuangan. Sukar untuk menilai persembahan setiap pemain. Pasukan ini berjuang dan kami memenangi perlawanan ini dengan dengan laluan berliku.

"Kylian tidak patut memikul kesemua tanggungjawab. Dia pemain muda sungguhpun berbakat besar.

"Dia masih mempunyai waktu untuk meningkat. Dia boleh bergantung kepada bakatnya kerana dia mampu melakukan perbezaan pada saat getir," katanya.