CLUB BRUGGE 0 PSG 5

Kylian Mbappe berkata dia mahu membuktikan bahawa pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, melakukan kesilapan kerana tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.


Penyerang itu menjaringkan hatrik dalam babak kedua ketika PSG membelasah Club Brugge 5-0 dalam perlawanan Kumpulan A, Liga Juara-Juara Eropah di Jan Breydelstadion awal pagi tadi.

Bintang PSG itu pada awalnya hanya diletakkan di bangku simpanan, namun dia dimasukkan untuk menghasilkan tiga gol dalam tempoh 22 minit selain membantu jaringan kedua Mauro Icardi.

Mbappe hanya tersenarai empat kali dalam kesebelasan utama PSG musim ini gara-gara kecederaan paha, namun dia telah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan sejak kembali pulih dan dia berasakan sudah bersedia untuk beraksi dalam perlawanan penuh.

"Saya mahu memulakan perlawanan," kata Mbappe, yang mencipta sejarah sebagai pemain termuda menjaringkan 15 gol dalam Liga Juara-Juara Eropah pada usia 20 tahun dan 306 hari, kepada RMC Sport.

"Saya sangka saya akan memulakan perlawanan. Jurulatih membuat keputusan dan anda perlu menerimanya.

"Saya mahu turun ke lapangan dan membuktikan ia sukar tanpa kehadiran saya.

"Bola sepak adalah minat saya, saya gemar beraksi.

"Sudah dua bulan saya tidak dapat beraksi dengan baik. Ia amat menyakitkan.

"Saya mahu beraksi dalam setiap perlawanan. Apabila anda di padang, ia disebabkan anda boleh beraksi.

"Saya perlu bersabar tetapi sekarang, ia sudah berakhir. Saya sudah mengatasinya.

"Tetapi hari ini bukanlah kemenangan buat Kylian, ia kemenangan buat PSG," katanya.

Tuchel menyaksikan pasukannya meraih tiga kemenangan tanpa dibolosi dalam saingan Kumpulan A itu.

Bagaimanapun, dia mempertahankan keputusannya untuk tidak membenarkan Mbappe memulakan perlawanan.

"Dia beraksi selama 15 minit di Nice selepas pulih daripada kecederaan otot.

"Ini merupakan kali pertama dia tidak berasa sakit otot selepas tamat perlawanan, jadi dia boleh beraksi selama 90 minit.

"Dia boleh memulakan perlawanan dan dikeluarkan selepas sejam atau dimasukkan selepas waktu rehat.

"Ia merupakan keputusan kami tetapi bukan disebabkan itu dia mahu membuktikan kualitinya," katanya.