Kylian Mbappe hanya menunggu masa untuk menyertai Real Madrid, kata Jerome Rothen, yang mendakwa bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu sudah hampir menyertai pasukan gergasi LaLiga berkenaan sebelum pandemik Covid-19.

Mbappe terus dikaitkan dengan perpindahan blokbuster ke Real Madrid di mana ketua jurulatih, Zinedine Zidane, tidak berselindung di sebalik minatnya untuk mendapatkan penyerang kebangsaan Perancis itu.

Pemain berusia 21 tahun itu meninggalkan Monaco untuk menyertai PSG dengan perpindahan secara pinjaman pada 2017 sebelum menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2022, namun dia kelihatan tidak berminat untuk meneruskan masa depannya bersama juara Ligue 1 berkenaan.

Bekas pemain tengah PSG, Rothen, berkata Mbappe hampir menandatangani kontrak bersama Madrid sebelum krisis Covid-19 -- yang telah mengorbankan lebih daripada 108,700 mangsa secara global -- menganggu kelangsungan sukan di seluruh dunia.

‪What a night!! ‬ ‪I’m so proud to play with you guys, My TEAM ❤️ @psg

A post shared by Kylian Mbappé (@k.mbappe) on


"Saya tahu daripada sumber kelab itu bahawa kesepakatan untuk membawa Kylian ke Real Madrid sudah hampir selesai," kata Rothen, yang memenangi dua gelaran sepanjang enam tahun bersama PSG, kepada Radio Montecarlo.

"Tetapi dengan apa yang sedang berlaku, saya yakin perpindahan Mbappe ke Real Madrid akan tergendala."

Rothen menambah: "Tidak mungkin Mbappe akan melanjutkan kontraknya di PSG.

"Mereka akan memeterai perjanjian kerana PSG bersetuju untuk melepaskannya pada musim panas ini.

"Pada pandangan saya, ia hanya menunggu masa," katanya.

Sebelum wabak Covid-19, yang memaksa penangguhan Ligue 1 dan kebanyakan acara sukan di seluruh dunia, Mbappe telah menjaringkan 18 gol dalam saingan liga dan 30 gol dalam kesemua kejohanan bagi musim 2019-20.