Jersi Paris Saint-Germain (PSG) yang disarung Kylian Mbappe ketika menjaringkan hatrik untuk membantu pasukannya mengaibkan Barcelona awal pagi tadi mungkin boleh dijual dengan harga jutaan ringgit tetapi bintang Perancis itu memilih untuk menjadikannya sebagai hadiah buat legenda UFC, Khabib Nurmagomedov.

Mbappe mempamerkan aksi pemusnah dengan rentak, kekuatan dan penyudah kemasnya ketika membantu menewaskan Barca 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Camp Nou dan ia menjadikannya sebagai buah mulut ramai berikutan aksi terbaik yang pernah diperlihatkan daripada pemain muda berkenaan.

Masa depannya bersama PSG masih menjadi persoalan memandangkan kontraknya akan tamat pada Jun 2022 dan sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Real Madrid dan Liverpool.

Bagaimanapun, selepas mempamerkan aksi luar biasanya, pemenang Piala Dunia itu tidak berniat untuk menjadikan jersi yang dipakainya itu sebagai sebahagian daripada koleksi peribadi.

Dia memilih untuk menghadiahkan jersi itu kepada bintang seni bela diri campuran dunia, Khabib, selepas juara bertahan paling lama kategori lightweight UFC itu menonton perlawanan berkenaan bersama pemilik majoriti Leeds United, Andrea Radrizzani, di Camp Nou.

Mbappe turut menulis mesej buat Khabib di atas jersi itu dan pertarung dengan gelaran 'The Eagle" berkenaan segera mempamerkan hadiah yang baru diterimanya itu kepada 27.3 juta pengikutnya di Instagram.