Kylian Mbappe berterima kasih kepada Neymar kerana membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan di Paris Saint-Germain (PSG).

Mbappe menyertai PSG dari AS Monaco pada Ogos lalu secara pinjaman sebelum mereka memeterai kontrak bernilai €180 juta (RM864.4j), akhir musim ini manakala Neymar pula tiba dari Barcelona untuk bersama gergasi Ligue 1 itu sebagai pemain termahal di dunia.

Kedua-duanya menyinar bersama PSG yang menyaksikan mereka menjuarai peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) manakala Mbappe telah menemui sentuhan penyudah dalam liga sebanyak tujuh kali dan Neymar pula 11 kali untuk meletakkan skuad asuhan Unai Emery itu sembilan mata di puncak Ligue 1.

Mbappe, yang meraikan ulang tahun ke-19 esok, mengakui Neymar sering membantunya di PSG sambil tidak menyesal kerana tidak dapat hidup seperti remaja biasa.

"Neymar membantu dan bekerjasama dengan saya," kata Mbappe kepada France Football.

"Memandangkan saya tidak dapat keluar rumah terlalu kerap, saya sering membawa ramai kawan ke rumah. Kami bermain, ketawa dan kami memikirkan tentang perkara selain daripada bola sepak, ini adalah detik-detik yang pemain remaja seperti saya boleh lakukan.

"Menjadi pemain ternama dengan cepat membuatkan saya terlepas untuk menjalani kehidupan sebagai seorang remaja biasa," katanya.

Bagaimanapun, Mbappe yang telah meledak empat gol dalam lima aksi terakhir, percaya bermain bola sepak tidak dapat dibandingkan dengan pekerjaan lain.

"Saya tidak terlalu faham dengan mereka yang bercakap mengenai pengorbanan dalam kerjaya," tambah Mbappe.

"Bagi saya, pengorbanan sebenar adalah bangkit awal pada pagi untuk bekerja."