Kelab Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), berjaya mendapatkan khidmat bintang sensasi Perancis, Kylian Mbappe, menerusi pinjaman jangka panjang dan pilihan untuk membelinya selepas mencapai persetujuan dengan Monaco.

Pilihan untuk membeli itu akan dapat dijalankan selepas tamatnya musim 2017/18 dan PSG dilaporkan akan mendapatkan pemain berusia 18 tahun itu dengan nilai perpindahan berjumlah EUR180 juta (RM915 juta), sekaligus bakal menjadikan Mbappe sebagai pemain kedua termahal dunia selepas Neymar yang turut ke PSG awal musim ini dengan jumlah EUR222 juta (RM1.1 bilion).

Pinjaman itu dilaksanakan oleh PSG bagi mengelak daripada sebarang tindakan peraturan Financial Fair Play (FFP).

“Satu kegembiraan dan kebanggaan apabila dapat menyertai PSG,” kata Mbappe.

“Setiap anak muda dari kawasan Paris pastinya mengidamkan untuk menyarung jersi merah dan biru pasukan ini.

“Saya tertarik dengan kemahuan tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan ini.”

Kehadiran Mbappe pastinya menggembirakan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi.

“Dengan rasa berbesar hati, saya mengucapkan selamat datang buat Kylian Mbappe.

“Dalam kalangan pemain yang sama umur dengannya, tidak syak lagi bahawa Mbappe adalah pemain paling bernilai dengan teknik, fizikal serta kekuatan mental yang dimiliki,” ujar Nasser.