Thomas Tuchel mendedahkan Kylian Mbappe kini berada dalam 'zon merah' dan berisiko mengalami kecederaan selepas diturunkan ketika Paris Saint-Germain (PSG) tewas kepada Lyon dalam Ligue 1 awal pagi tadi.

Mbappe dimasukkan daripada bangku pemain pada minit ke-65 di mana juara bertahan, PSG, tewas 0-1 di Paris.

Merumitkan lagi keadaan, seorang lagi bintang PSG, Neymar, terpaksa diusung keluar pada lewat permainan susulan satu terjahan yang turut menyaksikan Thiago Mendes dibuang padang.

Ditanya mengapa Mbappe hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, ketua jurulatih PSG itu berkata pemain bintang berkenaan berdepan risiko untuk mengalami kecederaan.

"Mengenai Kylian, ia berdasarkan nasihat perubatan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia tidak dapat beraksi lebih daripada 25 minit. dia bermain selama 30 minit dan itu sudah berlebihan. Pegawai perubatan tidak membenarkan dia memulakan permainan dan tidak boleh beraksi lebih 25 minit.

"Dia berada dalam zon merah dan berisiko untuk cedera," katanya.

Neymar hanya dapat melakukan satu percubaan ke atas Lyon dan ia merupakan rekod terburuknya sepanjang memulakan perlawanan Ligue 1 sejak November tahun lalu.

Gol Rino Kadewere dalam babak pertama sudah cukup untuk skuad kendalian Rudi Garcia itu, yang berada di tangga kedua liga, memperoleh jumlah mata yang sama dengan Lille dan berkelebihan satu mata di depan PSG.

Tuchel berkata dia akan mengambil pendekatan berbeza seandainya menyedari lebih awal bahawa pasukannya sedang kepenatan.

"Ia salah saya. Saya tidak dapat kesan kepenatan mereka semalam dan disebabkan itu saya agak terkejut dengan prestasi kami, kesilapan kami dan semangat kami hari ini.

"Jika saya menyedarinya semalam, saya akan melakukan perubahan dengan mentaliti berbeza dalam kesebelasan utama. Bagi saya, itulah puncanya," katanya.

Jadual padat PSG akan diteruskan dengan perlawanan menentang Lorient, Rabu ini.