Kylian Mbappe dan Edinson Cavani tidak cukup cergas untuk beraksi selama 90 minit menjelang pertemuan dengan Club Brugge dalam Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok, kata pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tucel.

PSG menyenaraikan Mbappe dan Cavani dalam kunjungan ke Belgium itu, namun Tuchel perlu menentukan selama mana gandingan penyerang itu dapat beraksi.

Mbappe kembali beraksi dalam perlawanan menentang Nice, Sabtu lalu.

Dia yang dimasukkan sebagai pemain gantian turut menjaringkan gol yang membantu kemenangan 4-1 PSG selepas direhatkan selama tiga minggu kerana kekejangan otot paha.

Cavani pula tidak terlibat dalam perlawanan itu memandangkan dia memerlukan perhatian khusus selepas berehat hampir dua bulan kerana kecederaan pinggul.

Tuchel boleh memulakan perlawanan dengan kedua-dua pemain itu, namun pengurus berbangsa Jerman itu menegaskan bahawa dia tidak akan menggunakan mereka selama 90 minit.

"Kami di sini dengan 17 pemain dan ditambah dengan tiga penjaga gol," katanya kepada wartawan.

"Tetapi ia masih terlalu berat untuk Kylian beraksi selama 90 minit, kami perlu menentukan sama ada dia akan memulakan perlawanan atau masuk sebagai pemain gantian.

"Sama juga seperti Edi (Cavani). Saya mempunyai beberapa idea, terlalu banyak perkara di dalam kepala saya tetapi saya masih belum memiliki kesebelasan utama kerana kami masih mempunyai satu sesi latihan.

"Amat baik apabila Kylian dan Edi kembali bersama kami.

"Sudah terlalu lama kami tidak dapat bersama mereka tetapi pemain lain memanfaatkan peluang itu.

"Kini, kami lebih kuat dengan kehadiran mereka tetapi kami perlu mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Amat jelas tanpa Ney (Neymar), Edi dan Kylian, kami kekurangan kualiti dan pengalaman, namun pemain lain telah membuktikan bahawa kami boleh beraksi di tahap tertinggi.

"Tetapi bagi saya, kita terlalu banyak bercakap.

"Ini adalah Liga Juara-Juara, perlawanan di tempat lawan, ia paling sukar di Eropah," katanya.