Kylian Mbappe bernilai EUR300 juta (RM1.4 bilion) dan bakal menyertai Real Madrid pada tahun ini tetapi terhalang akibat coronavirus, kata seorang ejen yang kerap berurusan dengan kelab LaLiga itu.

Bintang Perancis, Mbappe, dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu walaupun hanya menyertai Paris Saint-Germain (PSG) daripada Monaco pada 2018.

Bermula sebagai pinjaman, penyerang itu melakukan perpindahan tetap ke Parc des Princes setahun kemudian dengan nilai EUR180 juta (RM848 juta), menjadikannya pemain kedua termahal dunia selepas Neymar meninggalkan Barcelona dan ke Paris dengan harga EUR222 juta (RM1.04 bilion).

Pemain berusia 21 tahun itu dikatakan menjadi antara sasaran utama Los Blancos walaupun PSG mau mengekalkannya selama mungkin sambil kontrak tamat pada 2022.

Yvan Le Mee -- yang menguruskan perpindahan Ferland Mendy dan Julien Faubert ke Madrid -- berpendapat perpindahan Mbappe ke Bernabeu hampir selesai sebelum COVID-19 menjadi penghalang.


"Mbappe adalah konteks normal. Tanpa wabak mengerikan dan masalah ekonomi yang berlaku, kami fikir dia akan menyertai Madrid musim panas ini," katanya.

"Dia tampak tidak akan memperbaharui kontrak dan masih memiliki baki dua tahun. Real Madrid kelihatan sedia membayar apa jua harga untuk khidmatnya kerana jika Neymar bernilai RM1.04 bilion, Mbappe memiliki tanda harga RM1.4 bilion kerana dia lebih muda dan bagus.

"Dia bakal menjadi penyerang terbaik dunia dan saya fikir dia mahu bersama kelab terhebat iaitu Real Madrid, dikendalikan oleh idolanya, Zinedine Zidane.

"Tambahan, ketika ini tiada persaingan hebat di bahagian serangan Madrid. Sebab itu mereka perlukan persaingan itu. Mereka memiliki Karim Benzema tetapi dia menuju tahun terakhir dalam kontrak.

"Namun, tahun ini tidak akan ada perpindahan besar kerana mereka tidak akan melakukan perkara gila. Saya fikir ia akan hadir selepas saingan Euro 2021."