"Kisah ini baru sahaja bermula."

Itu adalah pesanan bintang muda Perancis, Kylian Mbappe, selepas Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Bayern Munich 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi

Dalam perlawanan itu, Mbappe, Neymar dan Edinson Cavani membarisi kesebelasan utama PSG dan gandingan tersebut jelas memberikan masalah besar buat benteng Bayern.

Mbappe yang kini dipinjamkan dari Monaco menyaksikan lorongannya membolehkan Cavani menjaringkan gol kedua pasukan sebelum aksinya dalam babak kedua membuatkan pertahanan Bayern, David Alaba, tidak senang duduk.

"Kami tahu bahawa kami perlu beraksi di tahap terbaik untuk menentang pasukan seperti Bayern dan kami berjaya melakukannya.

"Harapan sangat tinggi selepas jendela perpindahan yang kami lalui. Menentang Bayern, ia jelas satu aksi yang sempurna dan kini kami menumpukan perhatian kepada aksi liga Sabtu ini. Kami mahu memenangi setiap perlawanan," katanya.

Aksi Mbappe turut menarik perhatian rakan sepasukan, Marco Verratti, sambil menyifatkan Mbappe sebagai pemain yang istimewa.

"Mbappe sangat istimewa. Berusia 18 tahun dengan aksi seperti itu, ia tidak akan berlaku kepada banyak pemain.

"Kami akan membantu selagi mampu. Tidak kira di luar atau di dalam padang, Mbappe sentiasa merendah diri kerana dia mahu meningkatkan kualitinya.

"Kami amat gembira untuknya kerana perlawanan sebegini akan memberikannya keyakinan," kata Verratti.