Pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi, yakin bahawa rakan sepasukannya, Kylian Mbappe, akan bersedia untuk menghadapi apa sahaja percaturan Uruguay dalam usaha untuk mengekangnya.

Mbappe mencuri tumpuan ketika aksi pusingan kedua Piala Dunia 2018 selepas menjaringkan dua gol serta menghadiahkan satu sepakan penalti sewaktu menewaskan Argentina 4-3.

Pemain berusia 19 tahun itu mempamerkan kepantasan yang memukau untuk memberikan masalah besar buat pasukan bimbingan Jorge Sampaoli itu dan kelibatnya sudah tentu akan membuatkan Uruguay sentiasa berwaspada.

Bagaimanapun, Matuidi percaya Mbappe mampu untuk mengulangi persembahan cemerlang dalam aksi suku akhir malam esok.

"Melihatnya dalam sesi latihan setiap hari, saya boleh katakan bahawa Mbappe sangat kuat walaupun berada dalam kedudukan yang sempit," katanya.

"Dia sukar dikawal. Mbappe mampu bergerak dalam ruang yang kecil dan sentiasa bergerak pantas, tidak kira sama ada sewaktu memegang bola atau ketika cuba mendapatkannya. Dia sangat menarik.

"Walaupun Uruguay muncul selaku pasukan yang kuat dan tidak memberikan ruang buat lawan, dia mampu melakukannya.

"Kami mempercayainya," ujarnya lagi.

Pemenang aksi di Nizhny Novgorod akan berdepan sama ada Brazil atau Belgium dalam saingan separuh akhir.