Kylian Mbappe telah menjadi 'pembunuh' sebenar di depan gol tatkala Abdou Diallo memuji perkembangan pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Mbappe menyinar bersama PSG sejak tiba daripada Monaco, membantu gergasi Perancis itu menjulang dua kejuaraan liga berturut-turut.

Pemenang Piala Dunia berusia 20 tahun itu menjaringkan 33 gol dalam saingan Ligue 1 musim lalu dan 39 gol bagi semua kejohanan.

Diallo -- yang meninggalkan Borussia Dortmund untuk berhijrah ke PSG musim ini -- mengenali Mbappe sewaktu sama-sama beraksi di Monaco dan bek tengah itu memberitahu wartawan: "Dia membesar, menaikkan sedikit berat badan.

"Namun, dia masih sama. Sudah tentu dia lebih matang. Kini, kami boleh bincang lebih banyak perkara tentangnya.

"Sewaktu saya di Monaco, dia sangat muda tetapi tetap sama.

"Dalam permainan, dia menjadi pembunuh sebenar. Dia tidak memiliki kualiti itu sewaktu meninggalkan Monaco walaupun menjaringkan banyak gol. Kini, dia mempunyai ketepatan lebih tinggi."

Mbappe menjaringkan gol dalam aksi pertama liga musim ini buat PSG sewaktu kemenangan 3-0 ke atas Nimes di laman sendiri.

PSG bakal bertandang ke Rennes hari ini tatkala masa depan Neymar yang menjadi rebutan di antara Barcelona dan Real Madrid masih belum jelas.