Borja Mayoral menyertai AS Roma secara pinjaman selama dua tahun daripada Real Madrid.

Roma perlu membelanjakan €2 juta (RM9.76 juta) untuk perpindahan sementara itu dan mempunyai pilihan untuk melakukan pembelian secara tetap dengan yuran perpindahan €15 juta (RM73.1 juta) dalam musim 2020-21 atau €20 juta (RM97.5 juta) dalam musim berikutnya.

Jika skuad Giallorossi itu melengkapkan pembelian berkenaan, kontrak Mayoral akan berlanjutan sehingga 2025.

"Saya gembira apabila akhirnya dapat menyertai pasukan ini -- ia merupakan beberapa hari yang memenatkan tetapi perkara utama adalah segala-galanya dan kami melakukan yang terbaik," kata Mayoral dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Ia merupakan satu penghormatan buat saya untuk mewakili sebuah kelab bersejarah seperti Roma.

"Saya bersyukur untuk berada di kelab ini dan percaya dengan apa yang telah mereka pamerkan; saya akan memberikan yang terbaik buat kelab ini dan saya harap dapat membuatkan peminatnya berasa bangga," katanya.

Selepas tiba daripada pasukan remaja Madrid, Mayoral melakukan penampilan senior pertama pada 2015.

Bagaimanapun, dia gagal mencipta nama di kelab itu dan dipinjamkan ke Wolfsburg dalam musim 2016-17, di mana dia menjaringkan 14 gol daripada 69 penampilan.

Mayoral kemudian menjadi sebahagian skuad bimbingan Zinedine Zidane dalam musim 2017-18 sebelum menghabiskan dua musim secara pinjaman di Levante, di mana dia menjaringkan 14 gol daripada 69 penampilan.

Dia kemudian mendapat peluang sebagai pemain gantian Madrid dalam dua perlawanan LaLiga musim ini tetapi diberikan lampu hijau untuk menyertai Roma.

Pemain berusia 23 tahun itu telah menjaringkan tujuh gol sepanjang beraksi sebanyak 33 kali buat Madrid.