Jurulatih AirAsia FC, Mat Zan Mat Aris, berharap mampu untuk mengulangi magis seperti mana ketika bersama Melaka United dengan membawa pasukan barunya itu mendaki carta Liga Super dari Liga FAM dalam tempoh dua musim.

Sudah berjaya mengumpulkan 22 pemain terdiri daripada gabungan pemain berpengalaman dan muda, Mat Zan hanya memikirkan kejuaraan Piala FAM pada musim depan.

Melalui sokongan padu yang dipamerkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Mat Zan optimis misi AirAsia FC yang akan dikenali sebagai Petaling Jaya Rangers selepas ini, mampu dicapai.

"Misi dan visi AirAsia sememangnya memandang ke hadapan. Bukan hanya melihat kepada pasukan tetapi juga kepada pembangunan pasukan.

"AirAsia juga menunjukkan mereka benar-benar serius dan kami akan terus berusaha untuk memastikan kami bakal ke Liga Perdana pada musim 2018," jelas Mat Zan.

Salah seorang pemain AirAsia FC, Tuah Iskandar, tidak berasakan dia membuat pilihan yang salah bersama pasukan itu walaupun sekadar bermain dalam Piala FAM.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) berkenaan berjanji akan membantu sehabis baik pasukan barunya itu, tambahan dia cukup yakin dengan kredibiliti Mat Zan yang mampu menjulang AirAsia FC.

"Bagi saya, bukan satu masalah beraksi di mana tetapi yang penting adalah hati untuk bermain demi majikan.

"Bukan saya tidak mahu beraksi dalamLiga Perdana atau Liga Super, tetapi saya ke sini untuk membantu AirAsia agar dapat beraksi dalam Liga Perdana pada musim 2018."