Mauricio Pochettino menegaskan masih ada ruang untuk diperbaiki pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG), selepas menewaskan Brest 3-0 awal pagi tadi.

Pemain gantian dalam babak kedua, Mauro Icardi dan Pablo Sarabia, menambah kelebihan awal yang dijaringkan Moise Kean untuk juara bertahan Ligue 1 itu memperoleh kemenangan selesa di Parc des Princes.

Kemenangan itu, yang diperoleh hanya tiga hari selepas mereka terikat 1-1 dengan Saint-Etianne dalam perlawanan pertama Pochettino bersama pasukan itu, menjadikan PSG kini hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Lyon, yang terikat 2-2 dengan Rennes dalam satu lagi perlawanan.

Walaupun memperoleh kemenangan selesa, Pochettino -- yang dipilih sebagai pengganti Thomas Tuchel minggu lalu -- mengakui masih ada banyak perkara perlu diperbaiki.

"Kami gembira dengan keputusannya, ia hasil daripada usaha kesemua pemain," katanya kepada Canal+.

"Tetapi masih ada banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Kami perlu terus berkerja dengan standard yang tinggi."

Kylian Mbappe gagal menemui sasaran buat kali ketiga dalam empat perlawanan terakhir apabila gagal menjaringkan sebarang gol daripada tiga percubaan yang dilakukannya -- lebih banyak berbanding mana-mana pemain dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Perancis itu masih dapat membantu jaringan Sarabia apabila melepasi kawalan beberapa pemain lawan sebelum menghulurkan bola buat rakan sepasukannya itu.

Walaupun prestasinya agak mengecewakan, Pochettino masih gembira dengan aksi keseluruhan Mbappe.

"Mbappe telah melakukan perkara yang bagus. Dia mendapatkan peluang dan malangnya dia tidak menjaringkan gol. Tetapi dia bermain dengan baik," tambahnya.