Pemain veteran Argentina, Javier Mascherano, bakal menamatkan khidmatnya bersama skuad kebangsaan sebaik sahaja Piala Dunia Russia 2018 tamat.

Hatrik daripada Lionel Messi membolehkan skuad kendalian Jorge Sampaoli menewaskan Ecuador 3-1, sekaligus mengesahkan tempat di Russia 2018.

Mascherano yang telah melakukan sebanyak 139 penampilan buat La Albiceleste kini hanya perlu beraksi empat kali lagi untuk menyamai pencapaian pemegang rekod penampilan terbanyak sepanjang zaman, Javier Zanetti, dan dia mengesahkan aksi di Russia 2018 bakal menjadi medan terakhir buatnya.

"Tempoh saya bersama skuad kebangsaan akan berakhir di Russia 2018," ujar pemain berusia 33 tahun itu.

"Ia jelas akan menjadi detik terakhir buat saya."

Sepanjang penglibatan bersama Argentina, Mascherano telah beraksi di posisi tengah dan pertahanan, termasuk ketika bergelut untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan.

Bekas pemain Liverpool itu berharap dia disenaraikan oleh Sampaoli untuk ke Russia, namun menyerahkan segala keputusan kepada pengendali berusia 57 tahun itu.