Masalah perut Eriksen buat Denmark risau

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2018 82
Masalah perut Eriksen buat Denmark risau
Pemain tengah Tottenham Hotspur, Christian Eriksen, mungkin berdepan masalah kecederaan bahagian perut yang kronik, kata ketua jurulatih Denmark, Age Hareide.

Eriksen tidak beraksi dalam empat perlawanan terakhir Spurs untuk semua pertandingan tetapi tetap dipanggil Hareide memperkuatkan pasukan menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA berdepan Ireland, Sabtu ini, serta perlawanan persahabatan menentang Austria, tiga hari kemudian.

Pemain tengah itu berkemungkinan besar tidak akan beraksi menentang Ireland tetapi dia diberi peluang membuktikan tahap kecergasan sebelum berdepan Austria walaupun Hareide menjelaskan dia tidak tahu tempoh masa untuk Eriksen terpaksa diketepikan.

"Kecederaan itu mungkin kronik dan benar, pihak Spurs juga risau tentangnya," kata Hareide.

"Sangat meragukan jika kami bercadang menggunakan khidmatnya di Dublin. Saya tidak rasa Spurs akan bersetuju dengan langkah itu."

Ditanya sama ada khidmat Eriksen terpaksa dilupakan selama beberapa minggu atau bulan, dia menambah: "Saya tidak tahu. Anda harus bertanya kepada doktor."

Eriksen tampil sebanyak tujuh kali untuk Spurs dalam semua kejohanan musim ini dan gol tunggalnya diraih ketika berdepan Inter Milan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen