Paulo Dybala perlu berehat hampir tiga minggu selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang Sassuolo, Ahad lalu, demikian disahkan Juventus.

Pemain Argentina itu digantikan oleh Dejan Kulusevski pada minit ke-43 dallam kemenangan 3-1 Serie A di Stadium Allianz.

Semalam, kelab itu mengesahkan penyerang berkenaan mengalami "luka ringan di ligamen medial collateral" lutut kirinya dan akan terpinggir selama "kira-kira 15-20 hari".

Pemain berusia 27 tahun itu bakal terlepas kempen Coppa Italia bertemu Genoa, awal pagi Khamis ini, selain Supercoppa Italiana menentang Napoli minggu depan serta perlawanan Serie A dengan Inter dan Bologna.

Dia juga mungkin terlepas satu lagi perlawanan liga menentang Sampdoria pada 30 Januari.

Satu-satunya kekalahan Juve dalam Serie A musim ini ialah ketika Dybala tidak tersenarai. Nisbah kemenangan jaguh Itali itu tanpa pemain kreatif berkenaan adalah 40 peratus berbanding 63.6 peratus dalam setiap penampilannya.



Dalam masa sama, Juve tumpas 10 kali dengan peratusan kemenangan mereka dalam kempen 2019-20 merosot daripada 72.7 kepada 30 peratus sepanjang ketiadaannya.

Bianconeri juga mengesahkan Weston McKennie dan Federico Chiesa menjalani ujian kecergasan semalam sambil mendedahkan tiada pemain yang mengalami kecederaan serius.