INTER 2 PARMA 2

Antonio Conte mula bimbang dengan masalah kecederaan yang menjejaskan skuad Inter dalam minggu-minggu mendatang selepas mereka terikat 2-2 dengan Parma dalam saingan Serie A.


Kwadwo Asamoah dan Stefan de Vrij diketepikan daripada kesebelasan utama Inter di San Siro, di mana jaringan Antonio Candreva dan Romelu Lukaku pada setiap separuh masa membantu Nerazzurri meraih satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Inter kekal ketinggalan satu mata kepada pendahulu liga, Juventus, yang turut seri 1-1 dengan Lecce dalam perlawanan lebih awal, dan Conte meluahkan kebimbangannya terhadap jadual padat yang bakal ditempuhi.

Inter akan berdepan tiga perlawanan di tempat lawan ketika bertemu Brescia, Bologna dan Borussia Dortmund dalam tempoh lapan hari, dan Conte memberitahu kepada Sky Sports: "Ini merupakan perlawanan ketiga kami dalam tempoh enam hari. Kami bakal menghadapi perkara yang sama dan tugas sukar menanti pasukan.

"Kami tidak boleh bertenang mengenai perkara ini. Inter bakal berdepan empat perlawanan dalam tempoh yang singkat.

"De Vrij dan Asamoah tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan. Sukar untuk Inter bersaing dalam dua kejohanan dengan skuad yang kecil," katanya.

Conte turut tanpa Alexis Sanchez sehingga tamat Hari Natal kerana mengalami masalah tendon kaki dan beliau akan memantau perkembangan Danilo D'Ambrosio dan Stefano Sensi yang dijangka kembali ke tahap terbaik.

Pengurus Inter itu memilih pertahanan berusia 20 tahun, Alessandro Bastoni, yang memulakan perlawanan berdepan Parma, dan penyerang berusia 17 tahun, Sebastiano Esposito, sebagai perancangan masa depan pasukan tetapi akan berbincang dengan pihak pengurusan kelab mengenai pelan untuk mengatasi masalah kecederaan yang membelenggunya.

"Kami perlu membuat penilaian bersama kelab dan memahami di mana kami mampu melakukannya dengan lebih baik," kata Conte.

"Saya memahami ia sebagai sebahagian projek pembangunan dan kami turut memberikan tumpuan kepada pemain muda seperti Bastoni dan Esposito -- kami perlu bersabar untuk memberikan ruang kepada mereka tetapi saya bimbang dengan situasi pasukan."