Masa depan Philippe Coutinho masih belum diketahui walaupun tempoh pinjamannya ke Bayern Munich daripada Barcelona hampir tamat, kata ejennya, Kia Joorabchian.

Coutinho, 27, menyertai Bayern secara pinjaman dengan pilihan perpindahan tetap pada Ogos lalu selepas bergelut dalam musim pertama di Camp Nou walaupun menyinar bersama Liverpool sebelum itu.

Tatkala pemain tengah itu tampak tampil dengan aksi bagus, meledakkan lapan gol dan mencipta enam bantuan jaringan dalam 22 aksi Bundesliga, Bayern dilaporkan menolak peluang untuk menebus pilihan pembelian bernilai EUR120 juta (RM570 juta).

Bintang Bayer Leverkusen, Kai Havertz, dan pemain sayap Manchester City, Leroy Sane, dikatakan menarik minat Die Roten memandangkan kedua-duanya lebih muda dan berasal dari Jerman.

Laporan di Sepanyol mendakwa Bayern melanjutkan pinjaman Coutinho sekurang-kurangnya untuk baki saingan musim ini tetapi Joorabchian menerima jika pemain Brazil itu gembira untuk kekal di Munich.

"Saya boleh katakan bahawa Coutinho gembira di Munich," katanya.

"Dia sukakan kelab dan ia melibatkan tahap profesional yang tinggi.

"Apa yang penting untuknya kini adalah fokus untuk pulih daripada kecederaan buku lali untuk kembali bersama pasukan secepat mungkin. Kemudian, lihat nanti perkembangannya.

"Tiada keputusan dibuat mengenai masa depannya. Seperti saya katakan beberapa kali sebelum ini, ketika ini kami tidak bercakap mengenai perancangan akan datang atau sebarang perpindahan."

Coutinho gagal memperkuatkan Bayern ketika menang 2-0 ke atas Union Berlin tatkala saingan Bundesliga disambung, Ahad lalu.

Dia dijangka akan kembali tidak lama lagi sambil Bayern mendedahkan dia memulakan proses pemulihan sejak 8 Mei lalu.