Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, memuji kualiti kepimpinan yang dipamer ketua pasukan, Eden Hazard.

Hazard menikmati musim cemerlangnya bersama Chelsea dan semakin hampir membantu Belgium ke final Liga Negara-Negara Eropah.

Martinez berkata pemain berusia 27 tahun itu memaparkan kepimpinan melalui teladan dan memuji pengaruh yang dibawa Hazard dalam pasukan kebangsaan.

"Dia merupakan seorang pemimpin yang baik," katanya dalam sidang media.

"Terdapat pelbagai jenis pemimpin, namun Hazard mampu membawa pengaruh yang hebat dan menjadi contoh kepada pemain-pemain muda agar tidak tertekan dalam apa jua situasi perlawanan.

"Dia menikmati bola sepak dan sentiasa tegas dalam memegang watak contoh kepada kami semua."

Belgium akan berdepan Iceland dan Switzerland dalam aksi Liga Negara-Negara, bulan ini.

Mereka berkemungkinan menjuarai saingan Kumpulan 2.

Pemain tengah, Axel Witsel, yang memburu penampilan ke-100 bersama Belgium, turut memuji Hazard dengan berkata: "Di luar padang, Hazard masih seperti itu.

"Dia tetap tenang dan tidak mudah menyampah.

"Dia tidak tertekan walaupun dalam perlawanan penting sewaktu Piala Dunia.

"Sejak memulakan karier, dia telah melakukannya dengan baik sehingga hari ini."