Fernando Morientes percaya bintang Inter Milan, Lautaro Martinez, mampu menyesuaikan diri bersama Barcelona atau Real Madrid.

Martinez, 22, dikaitkan dengan perpindahan ke Barca selepas menikmati musim cemerlang, meledakkan 16 gol dalam 31 perlawanan.

Real juga dilaporkan berminat dengan penggempur Argentina itu yang dikatakan memiliki klausa perpindahan berjumlah EUR111 juta (RM537 juta).

Bekas penyerang Real dan Sepanyol, Morientes, berpendapat Martinez seharusnya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan kedua-dua kelab itu.

"Di Sepanyol, kami bernasib baik dapat menikmati pemain dan jurulatih hebat dari Sepanyol. Mereka bersaing dengan baik dan sukar dicari di tempat lain," katanya.

"Barca sangat berminat untuk mendapatkannya dan Real juga begitu. Namun, saya fikir Barca lebih berminat.

"Martinez adalah seorang pemain menarik untuk kedua-dua pasukan itu. Dia memiliki visi yang baik dalam permainan.

"Dia merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia ketika ini dan saya fikir dia akan dapat sesuaikan diri."

Perpindahan ke Barca bakal menyaksikan Martinez berganding dengan rakan senegara, Lionel Messi.

Kontrak Messi akan tamat pada tahun depan tetapi Morientes percaya pemenang enam kali Ballon d'Or itu bakal menamatkan karier di Camp Nou.

"Saya tidak membayangkannya di luar Barca. Dia mengingatkan saya terhadap Paolo Maldini, Francesco Totti dan Carles Puyol," tambahnya.

"Dia seorang pemain kelab yang bermula dan akan menamatkan kariernya bersama pasukan hebat. Saya tidak fikirkannya.

"Saya harap dia mencapai persetujuan. Dia seorang pemain penting di Barca dan akan meneruskannya hingga kontrak tamat."