Ejen Lautaro Martinez, Alberto Yaque, mengesahkan juara LaLiga, Barcelona, berminat untuk menandatangani penggempur Inter itu.

Martinez, 21, dikaitkan dengan perpindahan bernilai €112 juta (RM518.6j) ke Barca, hanya semusim selepas menyertai Inter daripada Racing Club.

Pemain antarabangsa Argentina itu menyumbat sembilan gol dalam semua pertandingan -- enam gol Serie A -- musim lalu dan ketika diangkat selaku penyerang utama berikutan perbalahan di antara Mauro Icardi dan kelab.

Ditanya mengenai spekulasi yang mengaitkan Martinez dengan Barca, Yaque memberitahu Ole: "Desas-desus tentang minat Barcelona adalah benar.

"Tiada pihak yang menghubungi kami tetapi kami tahu bahawa mereka sedang memantaunya dengan lebih dekat. Memang benar Barcelona meminatinya."

Inter kini sibuk dalam pasaran pemain susulan pelantikan Antonio Conte sebagai pengurus menggantikan Luciano Spalletti.

Nerazzurri telah mengikat Diego Godin, Valentino Lazaro dan Stefano Sensi sementara mereka dilaporkan bersedia mengumumkan ketibaan pemain tengah Cagliari, Nicolo Barella, sambil urusan dengan Manchester United membabitkan Romelu Lukaku masih berjalan.