Martinez bidas persembahan kebudak-budakan Inter

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2019 411
Martinez bidas persembahan kebudak-budakan Inter
BORUSSIA DORTMUND 3 INTER MILAN 2

Lautaro Martinez mengecam Inter Milan susulan aksi kebudak-budakan dalam babak kedua sehingga menyebabkan mereka tewas 3-2 di tangan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Penyerang itu membuka tirai jaringan selepas lima minit aksi di Signal Iduna Park itu dan memainkan peranan utama sewaktu Matias Vecino menjadikan kedudukan 2-0 sebelum rehat.

Inter yang menewaskan Dortmund 2-0 di Milan, dua minggu lalu, kemudian tenggelam dalam babak kedua setelah dua jaringan daripada Achraf Hakimi serta satu gol oleh Julian Brandt memberikan mereka kekalahan.

Keputusan itu meletakkan Inter empat mata di belakang pendahulu Kumpulan F, Barcelona, yang bakal dilayan di laman sendiri dalam aksi keenam nanti serta ketinggalan tiga mata kepada Dortmund yang berada di tangga kedua.

Martinez tidak mahu berputus asa dalam harapan untuk ke pusingan 16 tetapi jelas sekali dia tidak gembira dengan bagaimana The Nerazzurri melepaskan peluang untuk meraih kemenangan.

"Kami cemerlang dalam babak pertama tetapi berubah menjadi pasukan berbeza selepas rehat. Kami kecewa kerana mempamerkan aksi kebudak-budakan dalam separuh masa kedua," katanya.

"Terdapat kesilapan dalam konsentrasi -- ini tidak boleh berlaku, melepaskan tiga gol dalam tempoh 45 minit.

"Kami kehilangan elemen kematangan selepas rehat. Kami perlu terus cemerlang. Harapan masih ada," ujarnya.

Vecino mendakwa kekalahan Inter adalah disebabkan oleh pertahanan yang terlalu ke bawah dan tidak meraih penguasaan perlawanan yang secukupnya dalam babak kedua tatkala Dortmund mula meningkatkan tekanan.

"Ia menyakitkan. Ia satu kekalahan yang buruk selepas melalui separuh masa pertama yang bagus," ujar pemain tengah itu.

"Selepas rehat, kami bertahan terlalu ke bawah dan bergelut untuk mengawal bola.

"Dortmund menemui semangat dan keghairahan selepas meraih gol pertama dan segalanya menjadi sukar buat kami. Namun, masih ada dua perlawanan dan kami akan mencuba."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen