Bekas penyerang Barcelona dan Inter Milan, Samuel Eto'o, memuji Lautaro Martinez tetapi berkata Luis Suarez berhak meraih lebih penghormatan atas sumbangannya.

Martinez, 22, dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi LaLiga itu tatkala penggempur Inter itu dilihat sebagai pengganti jangka panjang buat Suarez.

Bekas penyerang Liverpool yang kini berusia 33 tahun, Suarez, hadir ke Camp Nou dari Anfield pada 2014 dan telah memenangi empat kejuaraan LaLiga serta satu trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama Barca.

Eto'o -- yang menikmati tempoh lima musim di Barca dan dua tahun di Inter sewaktu bergelar pemain -- berkata Martinez adalah penyerang berbakat tetapi usaha Suarez tidak boleh dinafikan.

"Saya sukakan Suarez, dia salah seorang pemain terbaik dunia di posisinya," katanya.

"Barca sentiasa perlu menambah kekuatan tetapi tidak perlu mengetepikan seorang jeneral seperti Suarez. Di posisinya, dia seorang jeneral dan anda tidak boleh bandingkannya dengan sesiapa.

"Martinez beraksi dengan baik di Inter dan memiliki masa depan cerah tetapi orang ramai mula melupakan sejarah lampau. Suarez mencipta sejarah, bukan sahaja untuk Barca tetapi dalam bola sepak. Ia perlu diakui.

"Tidak salah untuk membawa masuk pemain lain bagi memberikan saingan dalam kelompok berdasarkan jumlah pemain yang Barcelona hadapi tetapi sedikit hormat perlu diberikan atas sejarah yang tercipta."

Suarez telah meledakkan 14 gol dan mencipta 10 bantuan jaringan dalam 23 perlawanan musim ini selepas saingan bola sepak ditangguhkan ekoran wabak coronavirus.

Dalam masa sama, Martinez telah menyumbat 16 gol dalam 31 aksi bersama Inter serta bantuan jaringan.