Lautaro Martinez amat gembira di Inter Milan walaupun dikaitkan untuk menyertai pasukan gergasi LaLiga, Barcelona, kata ejennya, Beto Yaque.

Martinez dikhabarkan akan meninggalkan Inter untuk menyertai Barca pada penghujung musim ini walaupun kelab Itali itu secara berterusan menegaskan bahawa mereka tidak berniat untuk menjual penyerang sensasi berkenaan.

Klausa pelepasan bernilai €111 juta (RM549.3 juta) pemain berusia 22 tahun itu telah tamat bulan lalu dan Yaque memberi gambaran mengenai peluang pemain itu berpindah dari San Siro ke Camp Nou.

"Perpindahan Lautaro lebih digembar-gemburkan media daripada keadaan sebenar," katanya kepada La Figura de la Cancha.

"Lautaro mempunyai kontrak tiga tahun bersama Inter dan dia amat gembira untuk berada di sana.

"Dia mempunyai musim yang amat baik, masih bersaing dalam Liga Europa dan saya harap Inter dapat terus mara dalam kejohanan itu," katanya.

Yaque menambah: "Saya tidak pernah perlu memberikannya saranan dan saya tidak perlu melakukannya ketika ini.

"Dia sentiasa pemain yang sempurna dan sudah semakin matang dalam beberapa tahun ini."

Martinez menjaringkan 14 gol dalam Serie A musim ini di mana skuad kendalan Antonio Conte berkenaan menamatkan musim di tangga kedua dengan satu mata di belakang juara, Juventus.

Pemain kebangsaan Argentina itu mengumpulkan 19 gol dalam kesemua kejohanan menjelang perlawanan menentang Bayer Leverkusen dalam suku akhir Liga Europa awal pagi esok.