Anthony Martial masih berada dalam perancangan skuad kebangsaan Perancis walaupun beberapa kali terlepas pemilihan sebelum ini, kata pengendali Les Bleus, Didier Deschamps.

Penggempur Manchester United, Martial, kini berada dalam prestasi terbaik bersama The Red Devils sejak kembali daripada kecederaan paha yang menyaksikannya terpaksa berehat selama dua bulan, tiga minggu lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan dan mencipta gandingan mantap bersama Marcus Rashford dan Daniel James di Old Trafford.

Namun, Martial -- yang kali terakhir melakukan penampilan di peringkat antarabangsa dalam aksi persahabatan menentang Russia pada Mac tahun lalu -- sekali lagi diketepikan daripada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Moldova dan Albania.

Bagaimanapun, Deschamps menegaskan penyerang itu tetap akan disenaraikan di masa akan datang.

"Dia merupakan sebahagian daripada skuad Perancis secara kerap tetapi sering dilanda kecederaan kebelakangan ini," katanya.

"Dia kembali tidak lama dahulu dan segalanya berjalan lancar dengan peranan selaku penyerang tengah United.

"Namun, untuk jangka panjang, dia merupakan pemain yang akan dipanggil."

Olivier Giroud disenaraikan walaupun penyerang berpengalaman itu mengalami kekurangan tempoh permainan bersama Chelsea musim ini.

Pemain berusia 33 tahun itu hanya tampil enam kali dan beraksi selama 120 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Giroud terus menjadi pilihan Deschamps setelah bekas penggempur Arsenal itu meraih kepercayaannya.

"Mungkin ia memberi maksud sesuatu tetapi apa yang berlaku di atas padang lebih bermakna," tambahnya.

"Jika dia menjadi pemain yang kerap saya gunakan, jangan lupa tentang kadar perlawanan dan jaringannya.

"Tidak ramai yang mengatasinya daripada segi jaringan dalam sejarah skuad Perancis. Dia melakukan perkara yang betul, jadi dia meraih kepercayaan."

Deschamps juga menjangkakan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, akan kembali cergas walaupun dia terlepas kemenangan 2-1 di Brest dalam saingan Ligue 1 akibat kecederaan otot.

"Mbappe masih belum tiba tetapi dia akan datang," ujar Deschamps.

"Terdapat komunikasi di antara dua doktor sebagai langkah berjaga-jaga.

"Tiada kerisauan yang ketara sebelum tarikh akhir Khamis ini."