Anthony Martial gembira di sebalik impak yang dipamerkan untuk Perancis sejurus dia kembali menyarung jersi skuad kebangsaan selepas dua tahun setengah ketika juara dunia itu mengatasi Croatia 4-2 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Ketua jurulatih skuad Perancis, Didier Deschamps, mendapakan khidmat Martial ke dalam skuad kebangsaan buat pertama kali sejak Mac 2018 berikutan musim cemerlang di peringkat kelab bersama Manchester United.

Pemain berusia 24 tahun itu turun sebagai pemain gantian ketika Perancis menang 1-0 ke atas Sweden Sabtu lalu dan memenangi sepakan penalti yang gagal disempurnakan oleh Antoine Griezmann.

Dengan Kylian Mbappe diketepikan untuk aksi awal pagi tadi berdepan Croatia selepas positif coronavirus, Martial diberikan tempat dalam kesebelasan utama dan melakukan bantuan jaringan buat jaringan penyamaan yang disempurnakan oleh Griezmann selepas Dejan Lovren meledak gol pembukaan buat pelawat di Paris.

Martial kemudian menampan hantaran Wissam Ben Yedder yang terkena palang sebelum terpantul di belakang penjaga gol, Dominik Livakovic, meletakkan Perancis menamatkan separuh masa pertama mendahului dengan dua jaringan berbalas satu.

Josip Brekalo menyamakan kedudukan 10 minit selepas perlawanan bersambung tetapi tandukan Dayot Upamecano dan jaringan penalti Olivier Giroud membenarkan Les Bleus menang dengan keputusan yang sama dengan aksi final Piala Dunia 2018.

"Sudah lama saya tidak beraksi bersama Perancis dan ia adalah perlawanan yang penting bagi saya," kata Martial. "Saya berjaya menyumbang kepada jaringan dan melakukan bantuan jaringan. Kami menang dan saya sangat gembira."