Penggempur Manchester United, Anthony Martial, akan terlepas aksi Liga Europa menentang LASK awal pagi esok tetapi pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer, berharap penyerang itu cergas untuk berdepan Tottenham Hotspur.

Martial berlanggar dengan tiang gol ketika menghampiri penjaga gol Manchester City, Ederson, ketika United memenangi pertemuan setempat di Old Trafford, Ahad lalu.

Selepas diketepikan daripada sesi latihan semalam, Martial juga akan direhatkan daripada ski pusingan 16 Liga Europa di Stadium Linz tetapi dia mungkin mampu kembali bagi aksi Liga Perdana Inggeris menentang Spurs di Stadium Tottenham Hotspur.

"Martial mengalami kecederaan dengan sendiri ketika berlanggar dengan tiang, jadi dia tidak sedia untuk aksi ini," ujar Solskjaer.

"Diharapkan dia boleh beraksi Ahad ini tetapi saya tidak pasti."

Solskjaer juga berharap Paul Pogba dapat kembali menyertai latihan bersama skuad utama minggu depan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.

Bintang Perancis itu tidak beraksi sejak 26 Disember lalu dan hanya enam kali memperkuatkan kesebelasan utama dalam semua kejohanan musim ini.

"Pogba semakin hampir tetapi belum bersedia," tambah pengendali itu.

"Dia masih belum berlatih dengan pasukan tetapi minggu depan, dia akan sedia."