Marseille tamatkan kontrak Evra

Oleh Penulis Jemputan 11 November 2017 3945
Marseille tamatkan kontrak Evra
Marseille telah menamatkan kontrak Patrice Evra selepas pertahanan veteran itu telah digantung Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sehingga penghujung musim selepas menendang seorang penyokong.

Evra telah dilayangkan kad merah sebelum perlawanan bermula ketika Marseille tewas 1-0 dalam saingan Liga Europa (UEL) kepada Vitoria Guimaraes awal bulan ini selepas bertelingkah dengan sekumpulan penyokong yang hadir sehingga Evra menendang salah seorang daripada mereka. Kelab Ligue 1 itu pada awalnya hanya menggantung Evra untuk satu perlawanan ketika dia disiasat oleh UEFA mengenai insiden tersebut.

Semalam, badan induk bola sepak Eropah itu telah memutuskan penggantungan Evra sehingga penghujung musim dan Marseille turut mengeluarkan kenyataan mengesahkan kontraknya telah ditamatkan.

"Sejak Januari 2017, Patrice Evra merupakan teladan di atas padang dan di dalam bilik persalinan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Marseille.

"Dia memainkan peranan penting dan memberikan nafas baru buat pasukan, penambaikan yang jelas dengan sasaran yang lebih tinggi.

"Pada 2 November di Guimaraes, dia telah melakukan tindakan yang tidak seharusnya dilakukan sebagai seorang yang profesional.

"Selepas UEFA memutuskan penggantungan Evra sehingga penghujung musim ini, kelab juga mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya dengan persetujuan yang diterima oleh kedua-dua pihak," kata kenyataan itu lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen