Rafael Marquez berterima kasih kepada penyokong Mexico di atas sokongan yang diberikan ketika Piala Dunia 2018 tetapi meminta agar pemain-pemain diberikan ruang untuk berehat di hotel.

Mexico tiba di Rostov bagi mengharungi aksi Kumpulan F bertemu Korea Selatan dan sedar bahawa kemenangan akan mengesahkan tempat buat mereka dalam pusingan kedua.

Satu kelompok besar penyokong Mexico tiba di hotel semalam, bernyanyi dan bersorak di depan hotel dengan harapan dapat bertemu wira mereka.

Pemain-pemain skuad El Tri akhirnya turun untuk bertemu peminat-peminat sambil diketuai oleh Marquez selaku kapten.

"Kami gembira dengan sokongan yang diterima," kata Marquez sambil rakan sepasukan berdiri di belakangnya.

"Secara jujur dan mewakili pemain yang lain, saya mahu mengucapkan terima kasih tetapi kami berharap agar anda dapat memberikan kami masa untuk berehat.

"Aksi pada malam ini sangat penting dan kami mahu memberikan segala-galanya buat anda. Kami meminta jasa baik anda dan terima kasih atas sokongan yang diberikan," katanya.

Kemenangan malam ini bakal menyaksikan Mexico melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut.