Giuseppe Marotta menegaskan Leonardo Bonucci tidak meninggalkan Juventus kerana pengendali pasukan, Massimiliano Allegri, sebaliknya mendedahkan pertelingkahan dengan Dani Alves mengenai penghijrahannya ke Paris Saint-Germain (PSG).

Bonucci meninggalkan Juve untuk bersama AC Milan pada Julai lalu, dengan pertahanan tengah Itali itu telah dilaporkan tidak lagi sehaluan dengan Allegri pada musim lalu.

Tetapi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Milan, Marotta, percaya hubungan di antara jurulatih dan pemain bukan punca Bonucci meninggalkan kelab itu.

"Saya mahu menjelaskan Bonucci tidak tinggalkan Juve kerana Allegri," katanya.

Marotta menyatakan hasrat Bonucci untuk ke Milan dipengaruhi oleh perpindahan Alves.

Bek kanan itu dijangka bakal ke England bersama Manchester City tetapi memilih untuk ke Perancis bersama PSG.

"Dani Alves telah mengejutkan kami, ia merupakan satu keputusan yang tidak dijangka. Pada mulanya, dia mengambil keputusan untuk ke Manchester City, kemudian PSG mula menawarkan kontrak yang lebih lumayan," ujarnya.

Juve membayar EUR90 juta (RM440 juta) Julai tahun lalu tetapi tidak berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas yang lepas.

"(Gonzalo) Higuain merupakan pemain berkualiti yang dibawa masuk oleh Juve tetapi sukar untuk berbelanja besar pada setiap musim," ujarnya.

Juve telah memenangi Scudetto sebanyak enam kali berturut-turut dan Marotta melabelnya sebagai satu kegagalan besar jika menyaksikan Juve gagal melakar kejuaraan buat kali ketujuh.

Pendahulu liga, Napoli, memiliki kelebihan satu mata ke atas Juve selepas 12 perlawanan, dengan Inter, Lazio dan Roma terus memberikan saingan.