Penyerang Real Madrid, Mariano Diaz, mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih yang baru dipecat, Julen Lopetegui, kerana memberikannya peluang kedua di Santiago Bernabeu.

Lopetegui dipecat kira-kira 24 jam selepas Madrid dimalukan Barcelona 5-1 dalam pertemuan El Clasico, Ahad lalu.

Bekas pengurus Sepanyol itu melalui 14 perlawanan secara keseluruhan tetapi kegagalan mencari pengganti Cristiano Ronaldo menjadi antara faktor kejatuhannya.

Mariano, 25, merupakan penyerang senior yang dibawa masuk selepas penghijrahan Ronaldo ke Juventus dan dia memberikan penghargaan kepada Lopetegui yang telah membawanya kembali dari Olympique Lyon, pasukan yang disertai hanya semusim.

"Saya sentiasa berterima kasih kepada Lopetegui, individu yang membuatkan saya kembali ke tempat asal," kata Mariano.

"Saya mengucapkannya selamat maju jaya di masa depan.

"Kini, kami harus berusaha lebih keras untuk mengatasi situasi ini."

Satu-satunya jaringan Mariano sejak kembali ke Sepanyol adalah sewaktu Madrid menewaskan AS Roma 3-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Bekas pemain tengah Madrid, Santiago Solari, mengambil-alih jawatan pengurus buat sementara di Santiago Bernabeu.