Claudio Marchisio semakin hampir untuk kembali beraksi bersama Juventus berikutan sudah pulih daripada kecederaan lutut serius yang menimpanya.

Pemain antarabangsa Itali itu mengalami koyakan di bahagian lutut dalam kemenangan Juventus ke atas Palermo, hujung musim lalu.

Marchisio masih belum membuat kemunculan untuk pasukan Massimiliano Allegri pada kempen kali ini, namun bos Juve itu mahu mengambil pendekatan berhati-hati terhadap proses pemulihan pemain berusia 30 tahun itu.

Pemain tengah itu sudah semakin hampir untuk kembali beraksi tidak lama lagi selepas disahkan turun dalam sesi latihan beberapa hari lalu.

"Saya berada dalam keadaan baik," katanya menerusi akaun laman sosial Twitter pendahulu Serie A berkenaan.

"Saya bekerja keras pada musim panas yang lalu untuk pulih dan kini adalah saat terbaik.

"Saya kembali ke pangkuan rakan sepasukan, kembali berlatih dengan bola dan saya berasakan kemunculan semula saya sudah hampir."

Marchisio telah tampil sebanyak 300 perlawanan dalam semua pertandingan buat Juventus sejak beraksi dalam skuad senior pada 2006-07, dengan memenangi lima gelaran Serie A bersama pasukan gergasi Turin itu.