Bek kiri Real Madrid, Marcelo, berkata Cristiano Ronaldo telah menjawab segala persoalan pengkritiknya selepas mempamerkan aksi yang mantap ketika bertemu Atletico Madrid pada Sabtu.

Bintang Portugal itu menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah perlawanan 'derby' Madrid selepas menjaringkan hatrik ketika menewaskan Atletico Madrid 3-0 di Vicente Calderon.

Selepas memenangi Euro 2016 bersama Portugal, Ronaldo dihujani kritikan kerana hanya menjaringkan satu gol dalam enam perlawanan pada bulan September dan Oktober.

Bagaimanapun, Marcelo berkata prestasi rakan sepasukannya ketika berdepan Atletico membuktikan kualitinya tidak harus menjadi persoalan.

"Anda tidak boleh meragui Cristiano dan kepada sesiapa yang menonton semula perlawanan itu, lihat apa yang telah dilakukannya," kata Marcelo kepada Movistar Plus.

Pengurus, Zinedine Zidane, menjelaskan bahawa Ronaldo berada di petak pertama dalam perebutan gelaran Ballon d'Or dan pertahanan, Dani Carvajal, bersetuju dengan pendapat pengendalinya.

"Saya berharap dia akan menang Ballon d'Or, saya berasakan dia berhak memenanginya," ujar pemain kebangsaan Sepanyol itu.